NIKMAT SYURGA......

Published in:
   

Hakikatnya, alam syurga termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang wajib diimani dan diyakini kewujudannya. Alam syurga pula adalah kemuncak nikmat anugerah Allah swt kepada seluruh hambaNya yang soleh dan bertakwa kepadaNya. Yang pasti, manusia tidak mampu menggambarkan keadaan sebenar syurga sama ada dari sudut keindahannya, keluasannya dan kenikmatannya. Namun begitu, syurga adalah kemuncak nikmat yang paling besar dan ianya bersifat kekal. Di dalam al-Quran terdapat ratusan ayat yang menjelaskan tentang kenikmatan alam syurga. Sebagai contoh nikmatnya, Allah swt berfirman yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa akan berada di tempat yang aman iaitu di dalam taman-taman dan mata air ( syurga ). Mereka memakai pakaian sutera yang halus dan sutera yang tebal, duduk berhadap-hadapan. Demikianlah dan Kami berikan kepada mereka bidadari. Di sana mereka meminta segala macam buah-buahan dengan aman dari segala kekhuatiran” ( al-Dukhan: 51-54 ). Diriwayatkan dalam hadis Qudsi bahawa Rasulullah saw bersabda: “ Bahawa Allah swt berfirman: Aku sediakan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata ( tentang keindahannya ), tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati seseorang ” ( al-Bukhari ). Bagaimanakah keadaan sebenar di dalam syurga dan neraka kelak ? Perkara itu diperlihatkan oleh Allah swt kepada Rasulullah saw dalam perjalanan Israk dan Mikraj. Baginda saw telah memasuki syurga dan melihat ke dalamnya dengan diiringi Jibril serta melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di hati manusia.Dalam hal alam syurga juga diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: " Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang dilangit, kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak berhingus, sisir rambut mereka dari emas dan ukup-ukup mereka dari kayu gahru yang harum dan peluh mereka berbau kasturi dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Nabi Adam alaihissalam setinggi enam puluh hasta "

Syurga berada dalam keadaan bertingkat-tingkat dan setiap tingkat pula berbeza keadaannya. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan " Al-Firdaus ". Diriwayatkan bahawa di atas Al-Firdaus inilah terletak "Arsh al-Rahman ”. Selain itu, keistimewaan syurga Al-Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah swt dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.

Tentang pintu-pintu syurga pula, dijelaskan oleh al-Quran dalam surah Shaad ayat 49-50 yang bermaksud: " Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar ( disediakan ) tempat kembali yang baik, ( iaitu ) syurga ’Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka ”

Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fatani dalam kitabnya “ Kasyful Ghaibiyyah ” menerangkan tentang nikmat syurga dan penduduknya kelak dengan dinukilkan kata-kata Ibnu Abbas: “ Bahawa syurga itu mempunyai 8 buah pintu gerbang. Antaranya adalah pintu syurga bagi orang yang melakukan ibadah puasa yang dinamakan pintu Ar-Rayyan. Rasulullah saw berjumpa sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih. Sungai-sungai syurga pula memancar dari bawah-bawah bukit. Dalam hal ini, Allah swt berfirman dalam surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud: "Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.” Di dalam syurga juga terdapat juga buah delima dan segala macam buah-buahan . Kemudian keluar daripadanya pakaian penghuni syurga dan kemudian keluar pula burung yang bentuknya seperti unta.

Sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah melihat sungai yang dinamakan Al-Kauthar. Sungai ini dilingkari oleh bukit-bukit yang terdiri dari permata dan tanahnya dari wangian yang paling wangi. Tepian sungai pula terdiri dari emas sedangkan anak-anak batunya dari mutiara. Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya : " Barangsiapa meminum air dari Al-Kauthar ini walau hanya satu kali sahaja, dia tidak merasa haus selama-lamanya” . Menurut riwayat hadis Rasulullah saw tentang nikmat syurga, bahawa Allah menciptakan taman-taman di dalam syurga bagi penghuninya. Ada dua bentuk taman di syurga: Dua taman yang dicipta Allah swt daripada emas dengan segala apa yang ada padanya dan dua taman yang dicipta Allah swt daripada perak dengan segala apa yang ada padanya ( al-Bukhari dan Muslim).
Di dalam taman-taman tersebut terdapat pelbagai jenis buah-buahan sama ada kurma ataupun delima, mata air dan sungai yang terus menerus mengalir airnya dengan tenang. Al-Tabrani meriwayatkan bahawa di dalam taman-taman tersebut ada pohon-pohon yang subur dengan sifatnya ada yang rendang, besar, tinggi dan luas. Perhatikan maksud firman Allah swt yang menegaskan tentang keindahan alam syurga, antaranya dari surah al-Ghaasyiah: “ dalam syurga yang tinggi, tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna, di dalamnya ada mata air yang mengalir, di dalamnya ada takhta-takhta yang ditinggikan dan gelas-gelas yang terletak didekatnya dan bantal-bantal sandaran yang tersusun dan permaidani yang terhampar”.

Di dalam syurga juga terdapat teman-teman yang baik akhlaknya dan cantik rupanya, iaitu bidadari yang hanya tinggal di tempat tinggal masing-masing. Bidadari ini cantik berseri seperti permata delima dan marjan. Kulit mereka putih melepak, cantik matanya, malah pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata.

Bidadari ini juga tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin. Mereka bersenang lenang, bergurau senda di atas cadar hijau warnanya dan permaidani yang sangat indah. Golongan yang bertuah ini disebut sebagai ' Ashabul Yamin ' (golongan kanan). Firman Allah swt yang bermaksud: "Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang tersusun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya." (Al-Waqiah: 27-33).


Dalam satu riwayat, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya di dalam syurga ada rumah yang diperbuat daripada mutiara yang mempunyai ruang yang luas.” ( al-Bukhari ).

Ketika Rasulullah saw di Mikraj ke langit, baginda diperlihatkan oleh Allah swt bagaimana rumah dan keadaan tanah di dalam syurga, dan Nabi saw bersabda yang bermaksud: “ Di dalamnya ada kubah-kubah permata dan tanahnya adalah minyak wangi.” ( al-Bukhari dan Muslim )

Hakikatnya, alam syurga adalah kemuncak kenikmatan dalam sesebuah kehidupan, kerana Allah swt akan menyediakan nikmat yang abadi kepada golongan yang beriman dan mentaatiNya. Akhirnya syurga yang penuh dengan segala nikmat adalah destinasi abadi kepada seluruh hambaNya yang benar-benar beriman dan mentaati Allah swt semasa hidupnya di alam bumi.

                                                   Sumber: Ustaz Roslan Mohamed's Facebook 

 

Marilah sama2 kita beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T supaya kita ditempatkan oleh Nya di syurga kelak. Kejarlah akhirat, nescaya dunia akan mengejar mu. Tetapi jika kita kejar dunia yang tidak seberapa(indahnya), akhirat akan meninggalkan kamu. Alangkah ruginya jika kita memilih dunia semata-mata. Hanya mendapat kebahagiaan yang tidak seberapa, tetapi kehilangan kebahagiaan yang hakiki. Jadi, kejarlah akhirat. Kedua-dua kebahagiaan kita akan dapat. 


InsyaAllah..... Amiinn... :D

Memory